JAWATANKUASA Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK) tetap akan menjemput peguam negara dan bekas peguam negara pada prosiding, bulan depan.
Pengerusinya, William Leong berkata posiding itu tetap akan berjalan meski Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberi penjelasan di Dewan Rakyat mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Leong berkata tujuan utama prosiding itu ialah untuk mengkaji cadangan memisahkan tugas pendakwa raya dengan Pejabat Peguam Negara (AGC).
“Masalah persepsi awam adalah wujud campur tangan dalam tugas Pendakwa Raya, bermula daripada Peguam Negara melakukan tugas sebagai Penasihat Undang-Undang kepada kerajaan dan juga sebagai Pendakwa Raya,” katanya lapor BH.
Beliau ditanya sama ada Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan bekas peguam negara, Tan Sri Idrus Harun tetap akan diundang untuk memberi penjelasan berhubung keputusan DNAA Zahid daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi itu meski selepas Anwar memberi penjelasan mengenai isu itu di Dewan Rakyat, Selasa lalu.
Perdana menteri ketika menjelaskan berkata ada duluan berhubung perintah DNAA itu.
Anwar turut meminta mana-mana pihak tampil memberikan bukti berhubung dakwaan beliau campur tangan dalam kes tersebut.
Minggu lalu, William dilaporkan berkata JKPK akan mengundang Ahmad Terrirudin dan Idrus bagi memberi penjelasan mengenai isu itu.
Sebelum ini, beliau memaklumkan kepada akhabar bahasa Melayu itu jawatankuasa berkenaan sedang mengkaji cadangan untuk memisahkan peranan pendakwa raya dengan AGC selain meneliti isu berkaitan keputusan DNAA itu. – 24 September, 2023.
Komen