SPRM akan panggil Radzi Jidin, kata Azam Baki


Kalidevi Mogan Kumarappa

Bekas menteri pendidikan Radzi Jidin terpalit dengan skandal korupsi percetakan buku melibatkan sebuah syarikat yang didakwa berkaitan isteri dan bekas pegawainya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2023.

AGENSI anti rasuah akan memanggil bekas menteri pendidikan, Dr Radzi Jidin bagi membantu siasatan berhubung projek percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah bernilai kira-kira RM80 juta, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Kata Azam, siasatan lanjut mengenai dakwaan rasuah berkaitan percetakan buku itu masih berjalan.

“Ada kemungkinan besar dipanggil tetapi bukan sekarang,“katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, sehingga hari ini SPRM tidak membekukan aset berhubung siasatan walaupun dua individu sudah ditahan kelmarin.

Semalam, SPRM mengesahkan menahan dua individu termasuk bekas setiausaha politik kepada Radzi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya pada malam Sabtu.

SPRM juga mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman mereka selama empat hari hingga Selasa ini.

Radzi dalam satu kenyataan semalam menafikan terbabit dalam sebarang dakwaan berkaitan siasatan rasuah ke atas satu projek rundingan terus percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah membabitkan lebih RM80 juta.

“Saya tiada sebarang kaitan dengan percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah sama sekali. Saya tiada sebarang kaitan dengan syarikat OTR One & Only tersebut.

“Isteri saya tiada sebarang kaitan dengan syarikat ATR One & Only tersebut. Perkara ini jelas kepada sesiapa yang sanggup membuat carian ke atas syarikat ATQ One & Only berkenaan,” katanya.

The Malaysian Insight melaporkan semalam, projek itu membabitkan percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah bernilai kira-kira RM80 juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.

“Suspek pertama berusia dalam lingkungan 20-an yang juga bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan manakala suspek kedua ialah pemilik syarikat berusia lewat 50-an.

“Mereka dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan itu meminta dan menerima rasuah melalui syarikat suspek kedua daripada kontraktor sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku secara rundingan terus,” kata sumber itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – 24 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen