BERPULUH ribu orang berarak di Perancis semalam untuk membantah keganasan polis dalam tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh golongan kiri dengan pertempuran tercetus di pinggir Paris.
Bantahan di seluruh negara itu berlaku hanya kurang tiga bulan selepas seorang remaja ditembak mati oleh seorang anggota polis dalam satu pemeriksaan lalu lintas sehingga mencetuskan rusuhan selama seminggu di Paris dan tempat lain.
Di Paris penunjuk perasaan dari semua peringkat umur memegang plakad yang menyatakan “Hentikan keganasan negara”, “Jangan maafkan atau lupa” atau “Undang-undang membunuh”.
Penunjuk perasaan menyasarkan artikel 435-1 Kod Keselamatan Dalaman yang diperkenalkan pada 2017 yang menyatakan kemungkinan pihak berkuasa dan perintah untuk menembak sekiranya suspek enggan mematuhinya.
Penunjuk perasaan menyahut seruan oleh golongan kiri radikal termasuk golongan berhaluan keras Perancis Unbowed (LFI).
Kesatuan berkata kira-kira 80,000 orang menyertai protes di seluruh Perancis termasuk 15,000 di Paris tetapi Kementerian Dalam Negeri meletakkan jumlah itu pada 31,300 di seluruh negara dengan 9,000 di Paris. – AFP, 24 September, 2023.
Komen