SEORANG lelaki berusia 58 tahun minggu ini menjadi pesakit kedua di dunia yang menerima pemindahan jantung babi yang diubah suai secara genetik, pencapaian terbaru dalam bidang penyelidikan perubatan yang semakin berkembang.
Pemindahan organ haiwan ke dalam manusia dipanggil xenotransplantation boleh menawarkan penyelesaian kepada kekurangan kronik pendermaan organ manusia.
Lebih daripada 100,000 rakyat Amerika kini dalam senarai menunggu untuk pemindahan organ.
Kedua-dua prosedur jantung dijalankan oleh pakar dari Sekolah Perubatan Universiti Maryland dengan pesakit pertama meninggal dunia dua bulan selepas pemindahannya tahun lepas disebabkan “banyak faktor termasuk keadaan kesihatannya yang lemah” sebelum pembedahan, kata universiti itu dalam satu kenyataan Jumaat.
Pembedahan terbaharu itu berlangsung pada Rabu dengan pesakit Lawrence Faucette tidak layak mendapat jantung manusia yang didermakan kerana penyakit vaskular yang sedia ada dan komplikasi pendarahan dalaman.
Tanpa pemindahan percubaan, bapa kepada dua anak dan veteran Tentera Laut itu berdepan kegagalan jantung.
“Satu-satunya harapan saya yang tinggal ialah melakukan pembedahan xenotransplant,” Faucette dipetik sebagai berkata sebelum prosedur itu.
“Sekurang-kurangnya sekarang saya mempunyai harapan, dan saya mempunyai peluang,” tambahnya.
Selepas pemindahan itu Faucette bernafas sendiri dan jantung baharu itu berfungsi dengan baik tanpa sebarang bantuan daripada peranti sokongan,” kata universiti itu.
Dia mengambil ubat anti-penolakan konvensional serta menerima terapi antibodi baharu untuk mengelakkan tubuhnya daripada merosakkan atau menolak organ baharu itu.
Xenotransplants mencabar kerana sistem imun pesakit akan menyerang organ asing. Para saintis cuba menyelesiakan masalah itu dengan menggunakan organ daripada babi yang diubah suai secara genetik.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini doktor memindahkan buah pinggang daripada babi yang diubah suai secara genetik kepada pesakit mati otak.
Institut Pemindahan Hospital NYU Langone di New York mengumumkan bulan ini buah pinggang babi yang dipindahkan ke pesakit mati otak berfungsi selama 61 hari yang memecahkan rekod. – AFP, 24 September 2023.
Komen