Firma peranti undian AS Smartmatic didakwa rasuah pegawai Filipina


Smartmatic yang memfailkan saman fitnah terhadap Fox News dan bekas pasukan Presiden AS Donald Trump didakwa terlibat dalam skim rasuah semasa pilihan raya Filipina. – Gambar AFP, 24 September, 2023.

SYARIKAT peralatan pengundian AS Smartmatic yang memfailkan saman fitnah terhadap Fox News dan bekas pasukan Presiden AS Donald Trump didakwa terlibat dalam skim rasuah semasa pilihan raya Filipina, lapor Sputnik memetik laporan CNN semalam, memetik dokumen mahkamah.

Jabatan Kehakiman AS mengemukakan pertuduhan pengubahan wang haram terhadap bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina Andres Bautista dan empat ketua anak syarikat Smartmatic yang disebut dalam kes itu sebagai rakan subahat yang tidak didakwa, menurut laporan itu.

Kakitangan Smartmatic didakwa “menyebabkan atau cuba” memindahkan AS$4 juta kepada Bautista “yang melanggar undang-undang pengubahan wang haram AS,” menurut pemfailan mahkamah yang dipetik dalam laporan itu.

Mereka didakwa menggunakan “dana rahsia” dan “kontrak palsu” untuk didakwa memberi rasuah kepada Bautista dan menyembunyikan aktiviti mereka menggunakan akaun e-mel palsu, kata CNN. Perkataan “salsa” dilapor menjadi kod nama mereka untuk “wang.”

Sementara itu Jurucakap Smartmatic Samira Saba dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan bahawa syarikat itu “tidak pernah memenangi projek melalui sebarang cara yang menyalahi undang-undang” dan pertuduhan dalam kes Bautista “tidak kaitan dengan keselamatan atau integriti pilihan raya Smartmatic.”

Bautista dilapor membayar AS$199 juta kepada Smartmatic untuk kira-kira 94,000 mesin undian dan penjadualan dalam pilihan raya presiden Filipina pada 2016.

Pegawai itu menafikan sebarang salah laku dengan alasan beliau tidak menerima sebarang wang rasuah. – Bernama, 24 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen