Indonesia bincang isu Myanmar dengan presiden ICRC


Menteri Luar Negeri Indonesia Retno Marsudi berkata Indonesia, sebagai pengerusi Asean 2023 mengambil pelbagai tindakan konkrit untuk menangani isu Myanmar termasuk dengan mengagihkan bantuan kemanusiaan ke negara itu. – Gambar EPA, 24 September, 2023.

MENTERI Luar Negeri Indonesia Retno Marsudi pada Jumaat lepas membincangkan isu Myanmar dengan Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) Mirjana Spoljaric di New York, lapor Agensi Berita Antara.

Kedua-dua tokoh membincangkan isu tersebut semasa pertemuan yang diadakan di luar Sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Semasa pertemuan itu Menteri Marsudi memberitahu pemimpin ICRC bahawa Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) akan terus mempromosikan Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai rujukan utama untuk menyelesaikan krisis yang sedang berlaku akibat rampasan kuasa oleh junta tentera Myanmar.

Marsudi memberitahu Spoljaric bahawa Indonesia, sebagai pengerusi Asean 2023 mengambil pelbagai tindakan konkrit untuk menangani isu Myanmar termasuk dengan mengagihkan bantuan kemanusiaan ke negara itu.

Marsudi kemudian menegaskan komitmen Indonesia untuk terus membantu rakyat Myanmar walaupun selepas penggal jawatan pengerusi Asean berakhir melalui mekanisme troika yang dipersetujui pada Persidangan Asean ke-43.

Laos sebagai pengerusi Asean seterusnya akan memulakan pelaksanaan mekanisme troika dan akan dibantu oleh Indonesia, pengerusi sebelumnya dan Malaysia, pengerusi seterusnya untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan 5PC dalam menyelesaikan isu Myanmar.

Sementara itu Spoljaric bagi pihaknya pula mengucapkan penghargaan kepada Indonesia atas sokongan berterusan terhadap ICRC.

Beliau juga menyatakan harapannya agar Indonesia dan ICRC dapat memperkukuh hubungan mereka melalui kerjasama dan dialog.

Semasa menjadi pengerusi Asean, Indonesia mendekati banyak pihak di Myanmar termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) iaitu kerajaan bayangan yang dibentuk oleh junta pembangkang; Majlis Pentadbiran Negeri (MPS) yang dibentuk oleh tentera; pertubuhan penentangan etnik (ERO); dan masyarakat sivil.

Usaha tersebut dibuat untuk memberi laluan kepada dialog inklusif yang disertakan sebagai sebahagian daripada 5PC. – Bernama, 24 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen