Malaysia berpotensi bangkit sebagai ekonomi dinamik, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim disambut sebelum mengadakan sesi dialog dan makan malam bersama rakyat dan pelajar Malaysia di New York. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 23 September, 2023.

MALAYSIA mempunyai potensi yang amat besar untuk bangkit kembali sebagai sebuah ekonomi yang dinamik, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ini berikutan negara mempunyai sumber yang diperlukan dan tenaga kerja berkelayakan, selain mempunyai dasar seperti Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk mendukung matlamat itu.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata perkara itu dikongsikan semasa beliau mengadakan sesi dialog dan makan malam bersama rakyat dan pelajar Malaysia di New York.

“Saya dan Azizah (Dr Wan Azizah Wan Ismail) amat berbesar hati dapat bertemu dan berdiskusi bersama mereka dalam majlis yang cukup santai,” kata beliau.

Pada majlis itu juga, Anwar berkata beliau turut menyatakan kerajaan perpaduan sedang meneliti kaedah untuk menarik rakyat Malaysia yang mahir untuk kembali menyumbang kepada negara.

“Ini sebagai usaha menangani krisis penghijrahan cendekiawan atau ‘brain drain’ yang sedang dihadapi negara ketika ini,” katanya.

Perdana menteri dan delegasi berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Beliau menyampaikan Kenyataan Negara pada Jumaat di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – Bernama, 23 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen