Mangsa banjir di Sabah, Perak meningkat


Mangsa banjir di Sabah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara susulan hujan lebat berterusan. – Gambar Facebook Bomba Sabah, 23 September, 2023.

JUMLAH mangsa banjir di Sabah dan Perak meningkat malam ini manakala di Sarawak kekal.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir di Beaufort meningkat kepada 228 mangsa daripada 72 keluarga setakat jam 8 malam ini berbanding 102 mangsa daripada 36 keluarga tengah hari tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa banjir itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Selagon yang dibuka sejak jam 4 petang semalam susulan banjir berikutan hujan lebat berterusan.

“Semua mangsa dari lima kampung di Beaufort yang terjejas akibat banjir… pemantauan masih diteruskan di lokasi hotspot di daerah berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Di Perak, JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir kilat mencatat peningkatan pada jam 6 petang tadi tetapi hanya sebuah PPS masih dibuka di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di daerah Kerian.

Sekretariat itu memaklumkan PPS berkenaan menempatkan 35 mangsa daripada lapan keluarga yang terjejas dari Kampung Matang Tengah, berbanding 33 mangsa daripada tujuh keluarga pada jam 12 tengah hari tadi.

Tiga PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan Sungai Jernih, Selama, Balai Raya Kampung Klah, Sungkai serta Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt, Taiping yang dibuka sebelum ini ditutup sepenuhnya semalam dan semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak pula memaklumkan hanya satu lorong di FT077 Jalan Pengkalan Hulu-Sempadan Thailand di Hulu Perak dibuka untuk dilalui semua kenderaan akibat runtuhan dan pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Jalan A 156 Jalan Karai-Jawang Trosor di Kuala Kangsar pula masih ditutup kepada semua kenderaan buat masa ini akibat tanah runtuh di kawasan itu.

Di Sarawak, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS di Limbang kekal 33 orang daripada tujuh keluarga, setakat jam 7 malam tadi. – Bernama, 23 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen