PEGAWAI pertahanan Amerika Syarikat (AS) dan China bertemu di Pentagon untuk membincangkan ringkasan strategi siber 2023 yang baru dikemas kini, menurut jabatan pertahanan dalam satu kenyataan media, lapor agensi berita Sputnik.
“Pegawai pertahanan AS mengadakan pertemuan secara peribadi dan maya hari ini dengan pegawai pertahanan Republik Rakyat China atas jemputan Jabatan Pertahanan untuk membincangkan ringkasan strategi siber yang dikeluarkan baru-baru ini, selaras dengan memorandum persefahaman AS-China 2014 mengenai ‘pemberitahuan mekanisme membina keyakinan aktiviti ketenteraan utama’,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Pada 2014, AS dan China menandatangani mekanisme untuk mengesahkan semula komitmen kedua-dua negara bagi membangunkan model baharu hubungan tentera AS-China, sebahagian daripada hubungan dua hala mereka, jelas kenyataan itu.
Selain itu, strategi berkenaan menggariskan komitmen Pentagon untuk melabur dan menjamin perlindungan, kebolehcapaian, kebolehpercayaan dan keteguhan rangkaian dan infrastruktur sibernya.
Delegasi AS terdiri daripada wakil dari Pejabat Setiausaha Pertahanan dan Ketua Turus Bersama, manakala delegasi China termasuk pegawai dari Pejabat Atase Pertahanan Kedutaan China di Washington dan Pejabat Suruhanjaya Tentera Pusat untuk Kerjasama Tentera Antarabangsa (OIMC), menurut kenyataan itu.
Selepas taklimat itu, kedua-dua pihak berbincang mengenai pelbagai isu berkaitan siber. – Bernama, 23 September, 2023.
Komen