SARAWAK menyampaikan hasrat meminta kerajaan Persekutuan melantik wakil negeri itu menganggotai Majlis Tenaga Negara seiring dengan dasar Sarawak mengutamakan tenaga hijau.
Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata, beliau menyampaikan permohonan itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sewaktu mesyuarat Kabinet di Kuching pada 16 September lalu.
“Anwar juga sudah bawa perkara ini kepada Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli). Sarawak mempunyai teknologi serta cara kita sendiri untuk mengurangkan karbon.
“Kita juga buat masa ini mengeluarkan tenaga boleh baharu seperti tenaga hidro, solar, angin dan hidrogen,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri konvensyen khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Kuching di Kuching, hari ini.
Pada 29 Ogos lalu, Rafizi menyatakan kerajaan bercadang mengadakan mesyuarat pertama Majlis Tenaga Negara seawal bulan depan.
Beliau berkata, Majlis Tenaga Negara yang dipengerusikan sendiri oleh perdana menteri dan Kementerian Ekonomi berperanan sebagai sekretariat, akan menetapkan hala tuju dan dasar strategik peringkat tinggi yang membolehkan jawatan kuasa kerja untuk menyelaras serta melaporkan kemajuan mengikut peringkat.
Penubuhan majlis itu juga sebagai salah satu langkah dalam memastikan matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dapat dilaksanakan secara efektif. β Bernama, 23 September, 2023.
Komen