Tiada rundingan tubuh kerajaan perpaduan di Johor, kata DAP


Pada PRN Johor tahun lalu, BN mencatat kemenangan dua pertiga apabila memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2023.

BELUM ada sebarang perbincangan mengenai penubuhan kerajaan perpaduan di peringkat negeri, kata Naib Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching.

Menurutnya, hingga kini Pakatan Harapan (PH) masih kekal sebagai pengimbang bagi kerajaan negeri yang berperanan sebagai semak dan imbang untuk pentadbiran di Johor.

“Saya rasa memang ada cadangan itu tetapi ia terbuka kerana setakat ini, kerjasama semakin rapat dan ini yang paling penting,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan khemah kepada peniaga Pasar Pagi Merbau, Bandar Putra di Kulai hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di peringkat negeri.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac tahun lalu, BN mencatat kemenangan dua pertiga apabila memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing mendapat 10 dan tiga kerusi.

Sementara itu, Teo yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP mencadangkan supaya sekretariat kerajaan perpaduan ditubuhkan di peringkat negeri memandangkan PH dan BN dilihat semakin serasi yang jelas dilihat ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram baru-baru ini.

Beliau berkata penubuhan sekretariat seperti itu di peringkat negeri dan Parlimen wajar bagi memudahkan penyaluran maklumat kepada rakyat serta merapatkan lagi kerjasama antara parti dalam kerajaan perpaduan. – Bernama, 23 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen