POLIS sedang menyiasat Ahli Parlimen DAP Ipoh Timor Howard Lee berhubung video TikTok yang didakwa menggunakan ayat al-Quran untuk menggesa umat Islam menyokong kerajaan perpaduan.
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan sedang dikendalikan oleh Bukit Aman memandangkan laporan polis terhadap Lee dibuat di Kuala Lumpur.
Siasatan akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Di Perak, kita hanya menerima satu laporan berhubung dengannya dan kita rujuk kepada laporan asal yang dibuat di (Balai Polis) Jalan Tun Razak.
“Kes ini juga disiasat oleh pihak USJT Bukit Aman,” katanya.
Yusri berkata polis Perak telah menerima satu lagi laporan yang dibuat oleh NGO Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) semalam, meminta siasatan dan tindakan terhadap Lee (atas) kerana didakwa menghina Islam.
Presiden Jabat Perak Amiruddin Daud berkata tafsiran mana-mana ayat al-Quran hanya perlu dibuat oleh pakar dalam bidang itu, bukan orang bukan Islam. – 22 September, 2023.
Komen