Parlimen India setuju peruntuk satu pertiga kerusi Dewan Rakyat kepada wanita 


PARLIMEN India meluluskan pindaan undang-undang yang akan membolehkan satu pertiga daripada kerusi di Dewan Perwakilan atau Lok Sabha serta parlimen wilayah, dikhaskan untuk wanita, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Selepas 11 jam perbahasan, kesemua 215 ahli Senat mengundi menyokong pindaan pada lewat Khamis, menurut sumber. Majoriti ahli Dewan Perwakilan meluluskan pindaan itu pada Rabu.

Pelaksanaannya bagaimanapun mungkin mengambil masa yang lama, paling awal pada 2029, menurut pakar.

Pindaan itu mula dicadangkan pada tahun 1996, tetapi ditolak oleh ramai ahli parlimen konservatif. Kini hanya segelintir sahaja ahli parlimen wanita di Lok Sabha.

Parlimen wilayah dijangka turut meluluskan pindaan itu.

Sebelum pembaharuan berkuat kuasa, bancian akan dilakukan, bergantung pada saiz populasi setiap negeri serta jumlah kerusi yang perlu diselaraskan.

“Suatu detik yang mencerminkan perjalanan demokrasi negara kita!” menurut hantaran Perdana Menteri Narendra Modi di X (Twitter).

“Kami menyambut era perwakilan yang lebih kukuh dan pemerkasaan untuk wanita India. Ini bukan semata-mata perundangan… ia adalah suatu penghormatan kepada ramai wanita yang telah menyumbang kepada negara. India semakin kukuh hasil daya tahan dan sumbangan mereka.”

Keputusan itu boleh meningkatkan sokongan wanita terhadap parti pemerintah nasionalis Hindu BJP dalam pilihan raya wilayah dalam beberapa bulan akan datang, serta dalam pilihan raya nasional tahun depan. – Bernama, 22 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen