POLAND tidak berhasrat membekalkan Kyiv dengan senjata terbaharunya yang dibeli untuk memperkukuh pertahanan negara itu, kata Presiden Poland Andrzej Duda pada Khamis, lapor Sputnik.
“Kami tidak akan menyerahkan senjata baharu yang kami beli dengan harga berbilion dolar untuk tentera Poland kepada orang lain,” katanya kepada penyiar Poland TVN24.
Presiden menambah beliau menentang keras pemberian kereta kebal Abrams yang baru dibeli Poland, sistem pertahanan udara Patriot atau pelancar roket HIMARS kepada sesiapa sahaja.
Bagaimanapun, Poland sudah menandatangani perjanjian pembekalan senjata dengan Kyiv, tambah presiden.
“Kami perlu memenuhi perjanjian itu dan kami akan melakukannya secara berterusan,” kata Duda sambil menambah Poland mempunyai perjanjian lain dengan Ukraine untuk bekalan peluru dan peralatan pembersihan lombong.
Apabila senjata baru tiba dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat, senjata lama akan dikeluarkan dari gudang tentera, tambah Duda.
Peralatan ketenteraan yang tidak lagi digunakan oleh tentera Poland boleh dipindahkan ke Ukraine, katanya. – Bernama, 22 September, 2023.
Komen