AGENSI Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersiap siaga untuk berdepan dengan banjir hujung tahun di 89 daerah ‘hotspot’ banjir yang dikenal pasti di seluruh negara menjelang peralihan Monsun Timur Laut
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali berkata kawasan terlibat kebanyakannya melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
Katanya, 77 daerah daripada 89 kawasan itu sering berlaku banjir.
“NADMA sudah diarah memantau pelaksanaan persiapan banjir khususnya di daerah berisiko besar kerana berdasarkan data Monsun Timur Laut tahun lalu, sebanyak 89 daerah di seluruh negara dilanda bencana ini.
“Daripada jumlah itu, ada 77 daerah dilanda banjir berulang dalam tempoh Monsun Timur Laut bermula November 2022 hingga Mac lalu, sama ada lokaliti kampung yang sama atau berbeza tetapi dalam daerah sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Program Latihan Simulasi Bencana Rakan NADMA di Putrajaya, hari ini.
Awal hari ini dilaporkan angka mangsa yang terpaksa dipindahkan akibat banjir di Perak meningkat pagi ini kepada 129 orang daripada 48 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Taiping, Selama dan Batang Padang.
Sementara itu, 102 orang dari 33 keluarga di Baling dipindahkan ke dua PPS selepas rumah mereka dinaiki air susulan hujan lebat sejak malam tadi.
Di Pulai Pinang, seramai 66 mangsa dipindahkan dan ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Kota dalam daerah Seberang Perai Tengah. – 22 September, 2023.
Komen