RUPERT Murdoch meletak jawatan sebagai pengerusi Fox dan News Corp selepas kerjaya tujuh dekad membina empayar media paling berpengaruh dan kontroversi di dunia, lapor Xinhua.
Murdoch, 92, akan menjadi pengerusi emeritus di kedua-dua syarikat itu berkuat kuasa pada mesyuarat lembaga November ini, menurut pengumuman Fox.
Anak sulungnya, Lachlan Murdoch, yang pernah berkhidmat sebagai pengerusi bersama News Corp, akan menjadi pengerusi tunggal dan ketua pegawai eksekutif Fox.
“Sepanjang hidup saya, setiap hari saya terlibat dengan berita dan idea, dan ini tidak akan berubah. Tetapi inilah masa yang sesuai untuk saya mengambil peranan yang berbeza,” tulis mogul media itu dalam perutusan kepada kakitangannya.
Murdoch memulakan empayar media globalnya dengan sebuah akhbar di Adelaide, Australia, pada usia 21 tahun yang diwarisi daripada bapanya.
Selain rangkaian Fox News yang konservatif, yang membentuk semula berita kabel Amerika Syarikat semasa, selain mempengaruhi politik negara, Murdoch juga merupakan pemilik The Wall Street Journal, The Times, The Sun, New York Post dan beberapa penerbitan lain.
Beliau juga membangunkan gergasi TV berbayar Sky di Britain dan menguasai studio Hollywood yang telah menghasilkan Avatar dan Titanic.
Forbes menganggarkan nilai bersih aset keluarga Murdoch berjumlah AS$19 bilion pada 2020. Empayarnya mengalami beberapa siri tekanan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada April, Fox terpaksa membayar AS$787 juta untuk menyelesaikan tuntutan fitnah berkaitan liputan tuntutan palsu pada pilihan raya presiden 2020, diikuti pemecatan hos paling popularnya Tucker Carlson.
“Murdoch adalah antara segelintir pengusaha media, bersama-sama John Malone, Ted Turner dan Sumner Redstone yang membentuk era moden media,” menurut The Wall Street Journal.
“Beliau mempunyai pengaruh yang besar dalam politik dan kewangan, memperoleh pujian daripada penyokongnya serta dipesalahkan oleh pengkritiknya.” – Bernama, 22 September, 2023.
Komen