Sultan Johor sedia laksana tugas negara


Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mendahului senarai penggiliran menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong. – Gambar Facebook Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, 22 September, 2023.

SULTAN Johor menzahirkan kesediaan baginda melaksanakan tugas untuk negara dan rakyat.

Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, yang mendahului senarai penggiliran menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong, menzahirkan kesediaan memikul tanggungjawab itu.

“Ia bukan satu kenaikan pangkat. Ia adalah tanggungjawab yang saya sedia untuk laksanakan bagi pihak Raja-Raja Melayu,” titah baginda semasa wawancara eksklusif bersama Bernama yang diketuai Pengerusinya Wong Chun Wai di kediaman peribadi baginda, di Johor Bahru, baru-baru ini.

Sultan Ibrahim bertitah bahawa keutamaan baginda adalah menjaga kebajikan rakyat.

“Rakyat akan sentiasa didahulukan,” titah baginda.

Sultan Ibrahim enggan mengulas lanjut dan bertitah adalah lebih baik menunggu mesyuarat Majlis Raja-Raja selesai.

Raja-Raja Melayu dijangka memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 27 Oktober ini di bawah sistem pemilihan yang unik, namun berkemungkinan mengekalkan sistem penggiliran bagi memilih Yang di-Pertuan Agong baharu dalam kalangan sembilan Raja.

Pemerintahan lima tahun Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang dijadualkan berakhir pada penghujung Januari depan.

Sultan Ibrahim telah dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010. – Bernama, 22 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen