Mangsa banjir di Perak meningkat pagi ini


Tiga pusat pemindahan sementara dibuka di daerah Taiping, Selama dan Batang Padang. – Gambar Facebook, 22 September, 2023.

JUMLAH mangsa banjir kilat di Perak meningkat pagi ini dengan 129 mangsa daripada 48 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di daerah Taiping, Selama dan Batang Padang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan dua PPS baru dibuka pagi ini iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Jernih, Selama yang menempatkan 34 mangsa daripada 14 keluarga, manakala seramai 38 mangsa daripada 16 keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Klah, Sungkai.

Jumlah mangsa banjir di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt, Taiping yang dibuka sejak semalam masih kekal dengan 57 mangsa daripada 18 keluarga.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Perak memaklumkan paras air Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang, Sungai Bidor di Changkat Jong dan Sungai Kerian di Selama berada pada paras berjaga-jaga.

Paras air di Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang merekodkan bacaan 13.19 meter, Sungai Bidor di Changkat Jong pula mencatatkan bacaan 3.20 meter, manakala Sungai Kerian di Selama pada paras 11.31 meter. – Bernama, 22 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen