Perang di Sudan mungkin merebak ke seluruh Afrika


Ketua tentera Jeneral Abdel Fattah al-Burhan berkata perang yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu di Sudan mungkin merebak ke seluruh Afrika. – Gambar EPA, 22 September, 2023.

KETUA tentera Sudan semalam menggesa tekanan antarabangsa ke atas lawannya, unit separa tentera, Pasukan Tindakan Pantas (RSF), selain memberi amaran perang yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu mungkin merebak ke seluruh Afrika.

Berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Jeneral Abdel Fattah al-Burhan merujuk hubungan tidak langsung RSF dengan kumpulan tentera upahan Russia, Wagner yang dikenakan sekatan Barat susulan dakwaan pencabulan di Afrika.

Pemerintah de facto Sudan sejak rampasan kuasa pada 2021 itu berkata bahaya perang menjadi ancaman kepada keamanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa kerana pemberontak mendapat sokongan penjenayah dan kumpulan pengganas dari negara berbeza di rantau berkenaan.

“Ini seolah-olah percikan perang yang akan merebak ke negara lain di rantau ini. Campur tangan serantau dan antarabangsa untuk menyokong kumpulan terbabit juga jelas ketika ini.

“Ia menandakan percikan pertama yang akan membakar rantau ini dan bakal memberi kesan langsung kepada keamanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa,” katanya.

Perang meletus susulan kegagalan rancangan mengintegrasikan tentera dan RSF yang diketuai bekas timbalan Abdel Fattah, Jeneral Mohamed Hamdan Daglo pada 15 April lalu.

Berdasarkan pertubuhan bukan kerajaan Acled, sekurang-kurangnya 7,500 terkorban, manakala hampir lima juta hilang tempat tinggal, sekali gus memberi tamparan baharu kepada usaha membawa demokrasi ke Sudan.

Abdel Fattah juga memperhebat pengembaraan ke seluruh dunia dalam tindakan dilihat sebagai usaha memperkukuh keabsahannya, selain beliau di PBB menggesa kuasa dunia mengklasifikasikan RSF sebagai kumpulan pengganas.

“Kumpulan ini melakukan pembunuhan, membakar kediaman, merogol, mencuri, merompak, menyeksa penduduk dan merekrut tentera kanak-kanak.

“Mereka melakukan banyak jenayah dengan pelbagai alasan. Pihak yang menyokong semua jenayah terbabit perlu bertanggungjawab dan dihukum,” katanya.

Amerika Syarikat (AS) awal bulan ini, mengenakan sekatan ke atas pemimpin RSF termasuk komander kanan Abdelrahim Hamdan Daglo, abang kepada ketua kumpulan itu, atas dakwaan pencabulan, antaranya pembunuhan Gabenor Darfur Barat.

Namun, AS dan kuasa Barat yang lain turut mengkritik Burhan dengan lantang.

Hamdan dan Abdel Fattah pada 2021 bersama-sama melakukan rampasan kuasa yang menyaksikan kepimpinan diktator, Omar al-Bashir ditumbangkan, dengan mereka berjanji akan memindahkan kuasa kepada kerajaan awam. – AFP, 22 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen