SEORANG rakyat Palestin didakwa menikam seorang pengawal keselamatan di stesen keretapi di Jerusalem iaitu kawasan diceroboh Israel, sebelum dia ditembak dan cedera di tempat kejadian, kata polis.
“Pelaku adalah penduduk timur Jerusalem berusia 19 tahun melakukan serangan di stesen keretapi ringan Givat Hamivtar di utara Jerusalem, kata polis Israel dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu berkata penyerang yang tidak dinamakan itu ditahan polis dan sedang menerima rawatan selepas ditembak sebaik saja menyerang dua pengawal keselamatan di stesen terbabit.
Polis berkata, memetik sumber perubatan, lelaki Palestin itu mengalami kecederaan serius.
Hospital Hadassah berkata seorang pengawal keselamatan dirawat kerana mengalami kencederaan di tangannya.
Semalam, polis berkata seorang pengawal keselamatan di pintu masuk Israel di utara Jerusalem mengalami cedera ringan selepas dirempuh kereta.
Keganasan berkaitan dengan konflik Israel-Palestin semakin melonjak sejak awal tahun lalu, khususnya di Tebing Barat.
Sekurang-kurangnya 238 rakyat Palestin terbunuh setakat tahun ini berkaitan konflik itu. – AFP, 22 September, 2023.
Komen