Abbas tegaskan tiada keamananan di Timur Tengah tanpa hak rakyat Palestin


Presiden Palestin Mahmoud Abbas berucap di Perhimpunan Agung Persatuan PBB ke-78 di New York, AS pada Khamis. – Gambar EPA, 22 September, 2023.

KEAMANAN di Timur Tengah gagal dicapai jika tiada penyelesaian dalam rundingan damai Israel-Palestin, kata Mahmoud Abbas.

Presiden Palestin itu berkata demikian ketika Arab Saudi mempertimbangkan usaha untuk mengiktiraf dan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

“Bagi mereka yang beranggapan keamanan boleh dikecapi di Timur Tengah tanpa rakyat Palestin menikmati haknya yang sah, mereka silap,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.

Abbas, 87, dalam pada itu menyeru supaya Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menganjurkan persidangan antarabangsa untuk mewujudkan negara Palestin.

Tambah beliau, persidangan PBB “mungkin peluang terakhir bagi penyelesaian antara Palestin dan Israel, bagi mengelak keadaan bertambah serius sehingga mengancam keselamatan serta kestabilan rantau itu dan seluruh dunia.

Abbas berucap di UNGA sehari selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu membincangkan isu hubungan Israel dengan Arab Saudi dalam pertemuan bersama Presiden AS Joe Biden.

Israel dan AS percaya jalinan hubungan Israel dan Arab Saudi akan mengubah percaturan di Timur Tengah. – AFP, 22 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen