PRESIDEN Syria Bashar al-Assad tiba di bandar Hangzhou timur China pada Khamis bagi lawatan pertamanya ke negara itu sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Menurut Kementerian Luar di Beijing, Assad akan bertemu Presiden China Xi Jinping di luar majlis perasmian Sukan Asia ke-19 di Hangzhou pada Sabtu.
Selain rundingan dua hala, Assad juga telah dijemput menghadiri jamuan yang dianjurkan oleh Xi, bersama tetamu lain termasuk Putera Mahkota Kuwait Sheikh Mishal al-Ahmed al-Jaber al-Sabah dan Perdana Menteri Korea Selatan Han Duck-Soo.
Sukan Asia ke-19 yang berlangsung sehingga 8 Oktober ini akan menyaksikan atlet dari lebih 40 negara Asia bersaing dalam 61 acara.
Lawatan terakhir Assad ke China adalah pada 2004.
China, bersama Iran dan Rusia, menyokong Assad sejak pemberontakan menentang pemerintahannya bermula pada 2011. – Bernama, 22 September, 2023.
Komen