Akta Cukai Pendapatan 1967 tidak halang pendakwaan terhadap Rosmah, kata pendakwaan


Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn berkata dakwaan Rosmah Mansor bahawa mahkamah mengambil alih fungsi Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) adalah tidak berasas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2023.

TIADA sebarang peruntukan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menghalang pendakwaan terhadap Rosmah Mansor atas pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn berkata dakwaan isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak itu bahawa mahkamah mengambil alih fungsi Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) adalah tidak berasas.

Ini kerana mahkamah akan mengadili kesemua 17 pertuduhan dihadapinya mengikut bidang kuasa jenayah yang diperuntukkan dalam undang-undang, katanya.

Beliau berkata demikian menerusi afidavit balasan yang difailkan hari ini bagi menjawab permohonan Rosmah bagi membatalkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN yang dihadapinya.

“Tiada apa-apa peruntukan di bawah rangka kerja Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menghalang atau melarang pendakwaan kesalahan ketidakpatuhan Seksyen 77(1) akta sama melainkan dan sehingga pertikaian pemohon (Rosmah) berkenaan isu pendapatan boleh dikenakan cukai diputuskan oleh SCIT,” katanya.

Poh turut menafikan kesemua dakwaan yang dibuat oleh Rosmah bahawa 17 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah tanpa asas, defektif, pramatang, tidak konklusif serta tidak mendedahkan apa-apa kesalahan dalam perundangan.

“Saya menyatakan alasan-alasan yang diberikan oleh pemohon tidak mencerminkan kedudukan undang-undang yang betul.

“Isu sama ada pertuduhan ke-13 sehingga ke-17 adalah terjumlah kepada jenis pendapatan yang boleh dikenakan cukai merupakan persoalan yang diputuskan mengikut Seksyen 4 akta sama dan bukannya bergantung kepada kewujudan apa-apa perintah, arahan, permintaan mahupun taksiran yang dibuat oleh pihak LHDN,” katanya.

Rosmah memfailkan notis usul itu memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada kesemua 17 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 4 Oktober 2020.

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul itu, Rosmah mendakwa pertuduhan dikenakan ke atasnya adalah tanpa asas, defektif selain tidak mendedahkan sebarang kesalahan dalam undang-undang.

Rosmah, 71, didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Perbicaraan bagi kes itu bermula pada 24 Ogos lalu dan dua saksi dipanggil memberi keterangan. – Bernama, 21 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen