Presiden AS, Brazil lancar perkongsian majukan hak pekerja


Presiden AS Joe Biden dan Presiden Brazil Luis Inacio Lula da Silva lancar Perkongsian untuk Hak Pekerja yang diumumkan di Perhimpunan Agung PBB di New York. – Gambar EPA, 21 September, 2023.

PRESIDEN AS Joe Biden dan Presiden Brazil Luis Inacio Lula da Silva melancarkan Perkongsian untuk Hak Pekerja, inisiatif global pertama bersama AS-Brazil untuk memajukan hak pekerja di seluruh dunia.

Biden dan Lula mengumumkan perkongsian itu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, setelah bertahun-tahun bekerjasama untuk memajukan hak pekerja melalui dialog buruh dua hala, lapor United Press International (UPI).

Inisiatif itu juga menggalakkan kesamaan kaum, melindungi alam sekitar, menangani krisis iklim dan memperkukuhkan demokrasi dengan matlamat mendapatkan lebih banyak pemimpin dunia untuk menyertai usaha ini.

“Dua negara demokrasi terbesar di Hemisfera Barat memperjuangkan hak asasi manusia di seluruh dunia dan di hemisfera. Itu termasuk hak pekerja. Dan saya berbesar hati kerana kami akan melancarkan Perkongsian baharu untuk Hak Pekerja,” kata Biden sebelum kedua-dua pemimpin itu memulakan pertemuan mereka.

Inisiatif itu dilancarkan ketika kesatuan United Auto Workers melancarkan mogok terhadap pembuat kereta Big Three selepas kedua-dua pihak gagal merundingkan kontrak baharu.

“Sama ada pekerja kereta anda atau mana-mana pekerja kesatuan yang lain, rekod keuntungan syarikat sepatutnya bermakna rekod kontrak untuk kesatuan pekerja,” kata Biden, merujuk kepada mogok pekerja kereta.

“Saya gembira untuk berkongsi dengan Presiden Joe Biden perkongsian ini untuk hak pekerja,” tulis Lula dalam hantaran di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

“Kami berkongsi visi pertumbuhan ekonomi dicapai melalui pelaburan awam dan swasta serta dasar yang menjamin gaji yang baik, keadaan kerja yang baik dan maruah bagi mereka yang bekerja.

“Inisiatif ini adalah pelan kerja supaya kami boleh menawarkan kepada belia kami, kepada rakyat kami, perspektif pekerjaan yang layak, kerja yang lebih mahir dan berkelayakan – cuba mendapat manfaat daripada peralihan tenaga iklim – peralihan tenaga, cuba untuk memanfaatkan AI,” kata Lula. – Bernama, 21 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen