Peguam negara AS nafi pengaruh politik terhadap pendakwaan Trump, Biden


Peguam Negara AS, Merrick Garland menafikan wujudnya faktor politik atau White House mempengaruhi keputusannya berhubung siasatan terhadap Joe Biden dan Donald Trump. – Gambar EPA, 21 September, 2023.

PEGUAM Negara Amerika Syarikat (AS), Merrick Garland, pada Rabu menafikan dakwaan Republikan yang beliau melindungi anak lelaki Presiden AS Joe Biden, Hunter, ketika Jabatan Kehakiman mendakwa bekas presiden, Donald Trump.

Pengerusi Jawatankuasa Kehakiman Dewan, Jim Jordan, menuduh ketua kehakiman AS membantu menghalang penyiasatan yang sudah lama berjalan ke atas Hunter Biden.

Pihak Republikan mendakwa Joe Biden memperoleh manfaat secara tidak wajar hasil urusan perniagaan anaknya di luar negara, namun tidak mengemukakan sebarang bukti.

Sementara itu, Jordan mendakwa Garland sengaja mempercepatkan dua pendakwaan persekutuan terhadap wakil Republikan, Trump, yang juga saingan Biden dalam pilihan raya presiden yang bakal berlangsung tahun depan.

“Terdapat satu siasatan yang melindungi Presiden Biden dan ada satu lagi (siasatan) menyerang Presiden Trump.

“Jabatan Kehakiman AS pula memastikan kedua-dua kes ini mendapat perhatian sewajarnya,” kata Jordan.

Dalam perbicaraan hangat, Garland, yang melantik peguam khas bebas untuk mengendalikan siasatan Trump dan Hunter Biden, menafikan sekeras-kerasnya faktor politik atau White House mempengaruhi keputusannya.

Malah, beliau menafikan sebarang campur tangan dalam keputusan sama ada untuk mendakwa Hunter Biden, dan menegaskan hak itu berada di tangan Peguam Khas David Weiss, yang dilantik Trump ke Jabatan Kehakiman.

“Kami mengguna pakai undang-undang sama ke atas semua orang. Tugas kami bukan menerima arahan daripada presiden, Kongres, atau daripada sesiapa mengenai siapa atau apa yang hendak disiasat secara jenayah,” katanya.

Katanya, tugas utama Jabatan Kehakiman melindungi institusi demokrasi.

Katanya, ia termasuk meletakkan tanggungjawab semua mereka yang bersalah secara jenayah atas serangan 6 Januari ke atas bangunan Capitol, merujuk kepada pendakwaan Trump dan ratusan penyokongnya bagi serangan ganas 2021 ke atas Kongres.

Minggu lalau, Dewan Republikan membuka siasatan pemecatan Joe Biden.

Mereka mendakwa, tanpa bukti yang jelas, Biden mendapat manfaat secara langsung daripada berjuta-juta dolar yang diperoleh anaknya dalam urusan perniagaan di China, Ukraine dan negara lain.

Semua urusan itu dilaporkan dilakukan ketika Biden memegang jawatan naib presiden AS dan mempunyai pengawasan terhadap hubungan negara itu dengan Kyiv. – AFP, 21 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen