Malaysia sedia beli peralatan ketenteraan daripada Turkiye


Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Turkish House di New York, hari ini. – Gambar Facebook, 21 September, 2023.

MALAYSIA menyatakan kesediaannya untuk membeli peralatan ketenteraan dari Turkiye, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata sebelum ini ada peralatan ketenteraan yang dibeli daripada Korea Selatan, dan menurutnya peralatan sesuai yang hendak dibeli dari Turkiye ini akan diputuskan oleh Majlis Angkatan Tentera Malaysia.

“Kita mungkin lihat dron dan helikopter…lihat pengkhususan dan kepakaran Turkiye. Namun saya serahkan pada pihak tentera, mana yang terbaik,” kata perdana menteri selepas pertemuan dua hala dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Turkish House di New York, hari ini.

Katanya terserah kepada Kementerian Pertahanan untuk berunding dengan Kementerian Kewangan dan kerajaan terbabit dalam pembelian peralatan ketenteraan itu.

“Dasar saya ialah seperti yang saya katakan kepada Ketua Turus Bersama (Joint Chief of Staff), kita tidak mahu sebarang campur tangan mengenai apa yang perlu diperoleh, apa yang perlu dibeli,” katanya.

Pada masa yang sama, Anwar berkata Erdogan juga menyatakan persetujuan beliau untuk melawat Malaysia pada Disember depan.

Anwar kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu. – Bernama, 21 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen