Akar umbi belum yakin gandingan DAP-Umno


Alfian Z.M. Tahir

Barisan pemimpin tertinggi DAP dan BN yang hadir pada Persidangan DAP Kebangsaan di Putrajaya pada 10 September lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2023.

AKAR umbi DAP dan Umno masih belum yakin dengan kerjasama kedua-dua parti walaupun bekerjasama dengan baik pada pilihan raya enam negeri dan pilihan raya kecil (PRK) di Johor baru-baru ini.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight terdapat banyak lagi yang memerlukan penambahbaikan untuk memastikan kejayaan lebih besar dalam masa terdekat.

Mereka mengakui kedua-dua bekas seteru itu berjaya dalam pilihan raya baru-baru ini tetapi lebih banyak perlu dilakukan, terutamanya dalam menyebarkan maklumat dan hala tuju parti.

Umno dan DAP bermusuhan selama beberapa dekad sejak negara mencapai kemerdekaan. Umno parti berasaskan Melayu menuduh DAP sebagai anti-Islam dan anti-Melayu.

DAP sebaliknya melabel Umno sebagai parti ekstremis dan melabelkannya sebagai parti kleptokrat berikutan perbicaraan rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas presiden Umno dan perdana menteri Najib Razak.

Bagaimanapun, berikutan keputusan pilihan raya umum 2022, Pakatan Harapan (PH), dengan DAP sebagai ahli komponen, menerima Barisan Nasional (BN) sebagai rakan kongsi dalam membentuk kerajaan perpaduan.

Seminggu lalu, sejarah tercipta selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjadi presiden pertama parti itu menghadiri persidangan DAP selepas hampir enam dekad persaingan sengit politik.

Zahid diiringi Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Pemimpin Umno menerima sambutan hangat daripada Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Susulan pengumuman ketibaan Zahid, ratusan perwakilan DAP yang hadir di dewan itu bergema dengan sorakan dan tepukan kuat.

Harapan positif

Mengulas senario ini, Ketua Pemuda Umno Selangor Imran Tamrin berkata kerjasama kedua-dua parti di Selangor berjalan dengan baik.

Beliau mengakui terdapat rungutan beberapa ahli Umno mengenai kerjasama itu tetapi menegaskan ia hanya pendapat peribadi daripada individu.

Tambahnya, Zahid akan menjelaskan kerjasama dengan PH secara keseluruhan kepada 190 bahagian Umno tidak lama lagi.

“Kita nampak kejayaan di Selangor, seorang Adun Umno dipilih sebagai exco dalam pentadbiran negeri. Ini menunjukkan kita bekerjasama dengan baik dan ada persefahaman,” kata Imran.

“Di Johor, Umno dan BN memberikan yang terbaik untuk membantu calon Amanah daripada PH dan akhirnya kita menang kedua-dua kerusi. Kalau tiada persefahaman, saya tidak fikir kita akan menang di Selangor atau di Johor.

“Bagaimanapun, kami tidak mengambil mudah perkara ini. Presiden berkata beliau akan bercakap dengan semua 190 bahagian tidak lama lagi untuk menjelaskan keputusan kita untuk bekerjasama dengan PH.

“Ini adalah platform terbaik untuk meyakinkan ahli kita dan menamatkan sebarang keraguan,” kata bekas Adun Sungai Panjang itu.

Ahli DAP Hulu Selangor, S Murali berkongsi sentimen Imran sambil menambah parti itu menerima kerjasama kedua-duanya berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan kerajaan perpaduan.

Tambahnya, DAP bersedia mendahulukan negara melebihi perkara lain.

“Kita terima perkongsian itu selepas titah Agong demi kestabilan politik. PH bersetuju dan BN mengambil pendekatan yang sama.

“Di peringkat akar umbi, kerjasama berjalan dengan baik seperti yang terbukti dalam pilihan raya negeri. Pemimpin setiap parti berbincang dan berunding mengenai peruntukan kerusi.

“Kita bantu antara satu sama lain, walau apa pun keputusannya, kita bentuk kerajaan perpaduan peringkat negeri,” katanya.

PH-BN menang di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan tetapi kehilangan banyak kerusi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN).

Pemerhati berkata ramai pengundi Melayu memilih PN berbanding Umno kerana kes mahkamah yang dihadapi oleh pemimpinnya.

PN menang besar di Kedah, Kelantan dan Terengganu kerana undi Melayu. – 21 September, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen