Srettha tegaskan komitmen Thailand ke arah pencapaian


Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin menegaskan keutamaan kerajaan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan. – Gambar EPA, 20 September, 2023.

PERDANA Menteri Thailand, Srettha Thavisin berjanji untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) demi meningkatkan kehidupan dan kesejahteraan rakyat pada Sidang Kemuncak SDG 2023 di New York.

Secara khusus, beliau berkata Thailand berjanji untuk mencapai SDG termasuk tidak meninggalkan sesiapa pun, menggalakkan dan melindungi hak asasi manusia, memacu kerjasama dalam menyokong tindakan iklim yang secara langsung dapat meningkatkan kehidupan dan kesejahteraan rakyat.

“Thailand komited untuk melaksanakan janji ini. Negara ini sedang melaksanakan peranannya untuk mempercepat pencapaian SDG.

Bagi mempromosikan hak mendapat rawatan kesihatan, beliau menambah bahawa Thailand akan mengambil langkah-langkah untuk memastikan bilangan isi rumah yang menghadapi kemiskinan kesihatan diminimumkan di bawah paras 0.25% menjelang 2027.

“Thailand juga berjanji untuk memupuk kerjasama dan perkongsian di semua peringkat dalam menyokong tindakan iklim, termasuk memastikan akses kepada perkhidmatan tenaga moden yang mampu milik untuk semua menjelang 2030,” katanya.

Srettha menyampaikan kenyataan dalam Dialog Pemimpin Sidang Kemuncak SDG 2023, berjudul “Mobilizing finance and investments and the means of implementation for SDG achievement” di Dewan Perwakilan Amanah, di ibu pejabat PBB pada Selasa.

Ini merupakan ucapan pertamanya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Sidang Kemuncak SDG selepas dilantik pada 22 Ogos.

Srettha menegaskan keutamaan kerajaan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan, sebagai kunci kepada masa depan mampan negara itu.

“PBB telah mengumumkan bahawa dekad ini adalah “Dekad Tindakan”.

“Kemahuan politik harus seiring dengan solidariti antarabangsa. Multilateralisme yang berkesan dan senibina multilateral yang kuat perlu dipupuk, yang akan membolehkan masyarakat global menangani cabaran ini dan mempercepatkan pelaksanaan SDG,” katanya.

Srettha yang juga Menteri Kewangan berkata adalah penting bahawa masyarakat antarabangsa mengatasi jurang pembiayaan SDG, meningkatkan pelaburan SDG, mencari sumber kewangan inovatif, dan menyeimbangkan medan permainan berkaitan kerangka kewangan antarabangsa.

Beliau berkata Thailand menyokong gesaan Setiausaha Agung bagi kerangka reformasi ini, dan rangsangan SDG sebanyak AS$500 bilion setahun sehingga 2030.

Di peringkat nasional, Srettha berkata Thailand telah menerbitkan dua set bon kelestarian yang mengumpulkan AS$12.5 bilion dalam pelaburan hijau dan sosial, serta melancarkan Taksonomi Hijau Thailand sebagai alat rujukan untuk aktiviti ekonomi yang dianggap mampan alam sekitar.

Beliau mengatakan lebih 100 syarikat di Thailand yang membentuk Rangkaian Global Compact Thailand (GCNT) telah berjanji untuk melabur AS$43 bilion dalam projek berkaitan SDG menjelang 2030.

“Apa yang diperlukan dengan kadar segera adalah pembangunan yang lebih berpusatkan manusia dan bumi. Dengan Falsafah Ekonomi Kecukupan (SEP) Thailand, pendekatan pembangunan sendiri Thailand, dan Model Ekonomi Bio-Circular-Green Economy (BCG), pendekatan transformasi ini akan membantu mencapai keseimbangan antara matlamat ekonomi, sosial, dan alam sekitar SDG,” katanya. – Bernama, 20 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen