Insiden bakar Al-Quran, pemimpin Islam kecam Barat di perhimpunan PBB


Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata negara Barat memperlihatkan wabak perkauman termasuk Islamofobia. – Gambar EPA, 20 September, 2023.

PEMIMPIN Islam yang berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam negara Barat berhubung insiden membakar Al-Quran, menyifatkan tindakan dilindungi di bawah kebebasan bersuara itu sebagai diskriminasi.

Sweden membenarkan beberapa siri pembakaran kitab suci Islam itu, dengan kerajaan mengecam tindakan itu tetapi berkata negara tidak boleh menghentikan tindakan yang dilindungi di bawah undang-undang kebebasan bersuara.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan yang memberi tekanan selama berbulan-bulan ke atas Sweden kerana menerima aktivis Kurdish yang dilihat Turkiye sebagai pengganas, berkata negara Barat memperlihatkan wabak perkauman termasuk Islamofobia.

“Ia mencapai tahap yang tidak boleh diterima, malangnya ahli politik populis di banyak negara terus bermain api dengan menggalakkan trend berbahaya seperti itu.

“Mentaliti yang menggalakkan serangan mengerikan terhadap Al-Quran di Eropah, dengan membenarkan mereka bertopengkan kebebasan bersuara, pada dasarnya menggelapkan masa depan Eropah melalui tangannya sendiri,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung PBB.

Protes di Sweden yang membabitkan pembakaran Al-Quran dianjurkan pelarian Salwan Momika, mencetuskan kemarahan di Asia Barat termasuk negara asalnya Iraq.

Erdogan pada Julai berkata beliau akan menarik balik sekatan ke atas usaha Sweden untuk menyertai NATO tetapi Parlimen Turkiye belum lagi mengesahkan keahlian negara itu.

Presiden Iran Ebrahim Raisi seorang ulama yang mewakili negara teokratik Syiah, mengangkat Al-Quran ketika berucap.

“Api rasa tidak hormat tidak akan mengatasi kebenaran,” kata Raisi, menuduh Barat berusaha mengalihkan perhatian dengan elemen kebebasan bersuara.

“Islamofobia dan budaya apartheid yang disaksikan di negara Barat terbukti dalam tindakan daripada mencemarkan Al-Quran hingga kepada larangan hijab di sekolah dan banyak lagi diskriminasi yang menyedihkan tidak layak untuk maruah manusia,” kata Raisi.

Beliau merujuk tindakan Perancis yang secara kontroversi mengharamkan wanita Islam memakai tudung di sekolah. – AFP, 20 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen