Perikatan sudah capai 'kemuncaknya', kata Chin Tong


Ravin Palanisamy

Liew Chin Tong berkata pengaruh PN akan berakhir jika mereka gagal mendekati pengundi sederhana Melayu dan sebahagian daripada pengundi bukan Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2023.

KEMENANGAN berganda Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil yang diadakan di Johor baru-baru ini membuktikan pengaruh Perikatan Nasional (PN) perlahan-lahan mula merosot, kata Liew Chin Tong.

Pakar strategi DAP itu berkata keputusan PN dalam pilihan raya enam negeri (PRN) bulan lepas mungkin merupakan pencapaian terbaik mereka, sambil menambah gabungan itu sudah mencapai “kemuncaknya” dalam cuba menggunakan retorik perkauman dan agama untuk menawan pengundi.

“Kejayaan Saudara Nazri Abdul Rahman yang mewakili PH di DUN Simpang Jeram pada 9 September lalu, selepas pilihan raya di enam negeri pada 12 Ogos, telah mengukuhkan kestabilan kerajaan perpaduan.

“Semakin jelas apa yang saya katakan sebelum ini bahawa ‘kemuncak’ PN hanya sampai setakat ini sahaja telah terbukti benar.

“Keputusan PRN di enam negeri adalah tahap maksimum yang mampu dicapai oleh PN yang hanya bermain dengan emosi kaum dan agama,” kata Liew, yang juga ketua DAP Johor.

PN mengalami kekalahan di kedua-dua kerusi Pulai dan Simpang Jeram awal bulan ini.

Bagaimanapun, walaupun pilihan raya enam negeri bulan lepas menghasilkan status quo, PN adalah pemenang lebih besar, kerana menang 146 daripada 245 kerusi yang dipertandingkan, manakala gabungan perpaduan PH-Barisan Nasional (BN) terpaksa berpuas hati dengan 99 kerusi.

PN juga membuat kemajuan besar di Selangor, menafikan majoriti dua pertiga PH-BN di negeri terkaya itu, sambil menyapu bersih Terengganu dengan kemenangan di semua 32 kerusi.

Liew berkata pengaruh PN akan berakhir jika mereka tidak dapat mendekati orang bukan Melayu serta beberapa orang Melayu sederhana.

“Gabungan itu akan terkandas di bahagian utara dan pantai timur Semenanjung sahaja,” katanya.

Timbalan menteri pelaburan, perdagangan dan perindustrian (MITI) itu mendakwa pada kemuncak PN, PAS akan bertahan dan berkembang maju apabila parti itu menguasai empat kerajaan negeri tetapi, seiring dengan berlalunya masa, Bersatu akan pudar dan terpinggir.

PAS memberi sumbangan besar kepada PN dalam PRN, memperoleh 105 daripada 146 kerusi yang dimenangi gabungan itu.

Parti Islam itu mempunyai kadar kejayaan 82.7% dalam PRN.

Liew menambah yang kemenangan berkembar pilihan raya kecildi Johor membuktikan kekuatan dan daya tahan gagasan Malaysia berbilang etnik. – 20 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen