NEGERI Montana, Amerika Syarikat (AS) menerima sokongan 18 negeri lain dalam usahanya menyekat platform media sosial TikTok, menurut taklimat amici curiae yang difailkan di Mahkamah Daerah AS untuk Montana, lapor Sputnik.
Ia diserahkan pada Isnin oleh 18 negeri, termasuk Virginia, Alabama, Idaho dan Utah, bagi menyokong undang-undang yang diluluskan oleh badan perundangan Montana untuk melarang syarikat daripada membenarkan TikTok dimuat turun di negeri itu.
TikTok menyaman Montana dalam usaha menghalang penguatkuasaan undang-undang terbabit yang akan dikuatkuasa pada Januari 2024.
Perundangan itu dibuat di tengah-tengah usaha lain di seluruh AS untuk menyekat penggunaan TikTok atas kebimbangan privasi yang dikaitkan dengan syarikat induk yang berpangkalan di China, ByteDance.
TikTok juga gagal mengawal platformnya dan mengurangkan bahaya kepada pengguna remaja, menurut pemfailan itu. – Bernama, 20 September, 2023.
Komen