TENTERA Israel membunuh tiga rakyat Palestin ketika serbuan dengan bantuan dron ke atas kem pelarian Jenin di Tebing Barat yang diceroboni semalam, manakala pertempuran sempadan di Gaza menyebabkan seorang maut, kata pegawai Palestin.
Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan tiga syahid di Jenin, kubu kuat kumpulan bersenjata Palestin dan kira-kira 30 individu cedera akibat tembakan Israel.
Tentera Israel mengesahkan tentera beroperasi di Jenin pada petang semalam dengan bantuan dron tanpa mengulas lanjut.
Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant berkata tentera terbabit dalam operasi yang didakwa perlu untuk menggagalkan aktiviti pengganas.
Timbalan Gabenor Jenin Kamal Abu al-Rub berkata tentera Israel menyasarkan sebuah rumah yang digunakan sebagai tempat persembunyian oleh warga Palestin yang dikehendaki.
Israel menduduki Tebing Barat sejak 1967 dan tenteranya kerap melakukan pencerobohan ke kawasan-kawasan seperti Jenin dan kem pelarian bersebelahannya yang secara nominal berada di bawah kawalan keselamatan Pihak Berkuasa Palestin.
Pada Julai, tentera melakukan serbuan terbesar dalam beberapa tahun ke atas kem Jenin, di mana 13 rakyat Palestin termasuk pejuang dan kanak-kanak terbunuh.
Seorang askar maut ketika serbuan itu, juga akibat tembakan Israel berikut insiden pengecaman yang salah, kata tentera pada masa itu.
Keganasan yang dikaitkan dengan konflik Israel-Palestin meningkat sejak awal tahun lalu, khususnya di Tebing Barat.
Sekurang-kurangnya 236 rakyat Palestin terbunuh setakat tahun ini dalam insiden yang dikaitkan dengan konflik itu.
Pertumpahan darah itu juga menyaksikan 32 warga Israel, seorang Ukraine dan seorang Itali terbunuh dalam tempoh yang sama, menurut pengiraan berdasarkan sumber rasmi kedua-dua pihak.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pertempuran antara rakyat Palestin dan tentera Israel juga meletus di sepanjang sempadan Semenanjung Gaza.
Semalam seorang warga Palestin terbunuh oleh peluru pendudukan Israel, kata Kementerian Kesihatan di Gaza, yang dikawal oleh gerakan Islam Hamas. – AFP, 20 September, 2023.
Komen