PBB hantar bantuan ke Syria melalui sempadan dikuasai pemberontak


PBB hantar bantuan untuk orang awam memasuki barat laut Syria yang dikuasai pemberontak dari Turkiye melalui lintasan sempadan Bab al-Hawa semalam. – Gambar EPA, 20 September, 2023.

BANTUAN Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk orang awam memasuki barat laut Syria yang dikuasai pemberontak dari Turkiye melalui lintasan sempadan Bab al-Hawa semalam.

Penghantaran bantuan itu menjadi konvoi pertama sejak mekanisme Majlis Keselamatan tamat Julai lalu.

Konvoi itu membabitkan 17 trak yang dimuatkan dengan pelbagai barangan daripada PBB, kata Mazen Alloush, pegawai sempadan di pihak yang dikuasai pemberontak.

Konvoi itu turut disaksikan media yang melihat trak melalui persimpangan dengan logo Program Makanan Sedunia dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian.

Di bawah perjanjian 2014, bantuan terhadap jutaan penduduk kubu pemberontak terakhir Syria yang tinggal di utara dan barat laut negara itu sebahagian besarnya melalui persimpangan Bab al-Hawa, tanpa kebenaran Damsyik.

Bagaimanapun pada Julai lalu, Majlis Keselamatan PBB gagal mencapai kata sepakat untuk melanjutkan mekanisme itu, dan pertubuhan itu berkata tawaran Syria untuk mengekalkan lintasan terbuka selama enam bulan berikutnya mengandungi syarat “tidak boleh diterima”.

Bulan lalu, PBB mengumumkan pihaknya akan menyambung semula penghantaran bantuan selepas mencapai persetujuan dengan Damsyik untuk tempoh enam bulan, dalam satu perjanjian yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kumpulan bantuan yang mahu pihak berkuasa Syria diketepikan daripada proses itu.

Agensi kemanusiaan PBB, OCHA berkata konvoi semalam itu bertujuan menghantar 50 tan bantuan.

Ia termasuk kit kebersihan dan barangan pendidikan untuk kira-kira 46,000 orang, sokongan pemakanan untuk 10,000 bayi, khemah dan barangan bukan makanan untuk 5,000 orang dan bekalan yang mencukupi untuk 260,000 prosedur perubatan, kata OCHA dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengalu-alukan usaha penghantaran semula bantuan kemanusiaan yang menyelamatkan nyawa, kata jurucakapnya Stephane Dujarric.

“Walaupun operasi kemanusiaan kami terus membantu berjuta-juta orang yang memerlukan di barat laut Syria, lintasan Bab al-Hawa sudah lama menjadi pusat usaha PBB untuk menyampaikan bantuan di sana,” kata Dujarric dalam satu kenyataan.

Kumpulan jihad yang dahulunya bergabung dengan Al-Qaeda, Hayat Tahrir al-Sham (HTS), adalah kumpulan mengawal bahagian Syria di persimpangan Bab al-Hawa.

Berikutan gempa bumi pada 6 Februari yang melanda kedua-dua barat laut Syria dan selatan Turkiye, pihak berkuasa Syria bersetuju membuka sementara dua lagi lintasan sempadan, iaitu Bab al-Salama dan Al-Rai.

Kebenaran untuk kedua-dua lintasan tersebut kemudiannya diperbaharui dan ditetapkan untuk tamat tempoh pada 13 November. – AFP, 20 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen