PKS harap Belanjawan 2024 bantu pertingkatkan proses pengeluaran


Angie Tan

PKS minta Putrajaya bantu mereka mendigitalkan dan mengautomasikan proses pengeluaran mereka menerusi Belanjawan 2024. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2023.

PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) berharap Putrajaya akan membantu mereka mendigitalkan dan mengautomasikan proses pengeluaran mereka menerusi Belanjawan 2024.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Ding Hong Sing memberitahu The Malaysian Insight Putrajaya perlu melihat punca yang menyebabkan kemerosotan ekonomi.

“Kerajaan sepatutnya fokus kepada memperbaharui industri dan membantu PKS dalam mendigitalkan dan automasi sepenuhnya proses pengeluara.

“Negara kita menghadapi masalah inflasi yang serius tahun ini, dan ia tidak dapat diselesaikan hanya dengan menaikkan gaji minimum atau melaksanakan sistem gaji berperingkat.

“Beri lebih banyak wang kepada pengguna dan tidak melakukan apa-apa bagi mengurangkan kos pengeluaran PKS tidak akan menyelesaikan tekanan inflasi kerana perniagaan akan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka,” katanya.

Beliau berharap Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim bulan depan, akan dapat membantu PKS mengalami perubahan dalam proses pengeluaran dengan mengguna pakai teknologi terkini.

Seiring dengan industri bergerak ke arah automasi dan digital, pekerja berkemahiran diperlukan di mana ia secara tidak langsung akan menawarkan gaji lebih tinggi, katanya.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada Ogos berkata dasar sistem gaji berperingkat diluluskan Kabinet, dan butirannya akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024, dan beliau menjangkakan sistem gaji baharu akan dilaksanakan pada April atau Mei tahun depan. 

Ding berharap Geran Pembangunan Pasaran (MDG) menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan dinaikkan daripada RM20 juta setahun kepada RM60 juta.

MDG adalah inisiatif sokongan dalam bentuk geran bayar balik. Ia diperkenalkan pada 2002 dengan objektif untuk membantu pengeksport dalam usaha mereka mempromosikan produk atau perkhidmatan buatan Malaysia ke luar negara.

Ia diformulasikan khusus untuk syarikat PKS, penyedia perkhidmatan profesional, persatuan perdagangan dan industri, dewan perniagaan, badan profesional dan koperasi. – 20 September, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen