Kerajaan Iran tidak akan dapat akses dana, kata White House


Perjanjian Biden dengan Iran yang dicapai pada Ogos membawa kepada pembebasan lima rakyat Amerika yang ditahan. – Gambar EPA, 19 September, 2023.

KERAJAAN Iran tidak akan dapat mengakses secara langsung dana yang diluluskan oleh pentadbiran Biden dalam pertukaran tahanan kerana Qatar dan AS akan mengawasi pengeluaran wang berkenaan, kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House John Kirby dalam satu temu bual, lapor Sputnik.

“Wang itu tidak akan pergi ke rejim. Mereka tidak akan mendapat apa-apa daripadanya,” kata Kirby kepada CNN pada Isnin.

Perjanjian Biden dengan Iran yang dicapai pada Ogos membawa kepada pembebasan lima rakyat Amerika yang ditahan dan sebagai pertukaran Iran mendapat akses kepada kira-kira AS$6 bilion hasil minyak yang disekat di Korea Selatan.

Bagaimanapun, AS dan Qatar akan mengawasi pembelian bantuan kemanusiaan dan seterusnya memastikan penghantarannya ke Iran, kata pentadbiran Biden dalam satu kenyataan.

Aset itu akan disimpan dalam sistem Bank Negara Qatar dengan peruntukan untuk Iran membuat permintaan pengeluaran khusus bagi barangan kemanusiaan dan produk pertanian, menurut kenyataan itu. – Bernama, 19 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen