Polis Australia gantung penggunaan peluru 'bean bag'


Penggantungan itu akan dinilai sama ada ia berbaloi untuk diteruskan. – Gambar Facebook NSW Police Force, 19 September, 2023.

POLIS negeri New South Wales (NSW) di Australia menggantung sementara penggunaan peluru ‘bean bag’ selepas seorang wanita berusia 47 tahun meninggal dunia ditembak pegawai polis.

“Penggantungan itu akan kekal dikuatkuasakan sehingga kami melakukan penilaian penuh terhadap kemampuan dan melihat sama ada ia berbaloi untuk diteruskan.

“Ia adalah pilihan yang kurang membawa maut atau lebih tepat dan jika kami mengeluarkannya secara kekal daripada kemampuan kami, kami hanya akan ditinggalkan dengan taser selain cota dan senjata api dan itu menjadi kebimbangan kami,” kata Pemangku Pesuruhjaya Polis NSW David Hudson pada sidang media yang diadakan pada Selasa, lapor Xinhua.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari waktu tempatan pada Khamis, polis dimaklumkan mengenai kejadian seorang wanita mengancam orang awam dengan kapak di sebuah premis di Jalan Mitchell di Stockton, pinggir bandar Newcastle.

Selepas sembilan jam, polis yang buntu melaksanakan beberapa pilihan taktikal termasuk taser dan peluru impak, sebelum wanita berusia 47 tahun itu ditahan.

Wanita itu boleh berjalan ke ambulans berhampiran tetapi kemudian meninggal dunia di hospital.

Menurut Hudson, keputusan pemeriksaan bedah siasat sementara menunjukkan  kematian wanita itu disebabkan oleh “tembakan (peluru ‘bean bag’ mengenai jantungnya) yang mencederakan bahagian dada”. – Bernama, 19 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen