Muhyiddin mohon ketepikan 3 pertuduhan pengubahan wang haram


Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin akan membuat permohonan untuk mengetepikan tiga pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM200 juta membabitkan program Jana Wibawa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2023.

PENGERUSI Bersatu Muhyiddin Yassin akan membuat permohonan untuk mengetepikan tiga pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM200 juta membabitkan program Jana Wibawa.

Ketua pasukan peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik hari ini memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi permohonan itu akan difailkan secepat mungkin.

“Permohonan itu akan dibuat mengikut Seksyen 173 (g) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya.

Mengikut Sesyen 173(g) mahkamah dibenarkan membebaskan tertuduh jika ia mendapati pertuduhan dikenakan terhadapnya tidak berasas.

Perkara itu dimaklumkan kepada mahkamah ketika sebutan permohonan pendakwa untuk perbicaraan bersama kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dihadapi Muhyiddin.

Timbalan Pendakwa Rraya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada Azura, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tiga pertuduhan yang mendakwa beliau salah guna kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta untuk Bersatu.

Pada Ogos lalu Hakim Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan berkenaan.

Hakim dilaporkan berkata ia susulan empat pertuduhan berkenaan tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM.

Pada 13 Mac, Muhyiddin, 76, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya pada 7 Januari, 2022.

Pada 10 Mac, pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu didakwa pula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan enam pertuduhan, iaitu empat tuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah terbabit dan dua kesalahan pengubahan wang haram RM195 juta.

Kesalahan rasuah dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 1 Mac, 2020 hingga 20 Ogos, 2021.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Muhyiddin juga didakwa menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral antara 25 Februari, 2021 hingga 8 Julai, 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama. – 19 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen