ZON kewangan khas (SFZ) di Pulau Pinang boleh menghentikan kejatuhan pelaburan diluluskan di negeri itu, yang pada masa ini terkeluar daripada senarai lima negeri teratas untuk pelabur bagi separuh pertama 2023, kata bekas ketua menteri Lim Guan Eng.
Memetik laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Lim berkata Malaysia menarik RM132.6 bilion (AS$28.3 bilion) pelaburan diluluskan dari Januari hingga Jun.
“Lima negeri teratas yang merekodkan pelaburan tinggi adalah Kuala Lumpur (RM31.7 bilion), Selangor (RM29.7 bilion), Kedah (RM14.6 bilion), Johor (RM14.2 bilion) dan Sabah (RM9 bilion),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Pelaburan ini adalah sektor perkhidmatan (RM82.4 bilion), pembuatan (RM44.9 bilion) dan utama (RM5.3 bilion) membabitkan 2,651 projek dan dijangka mencipta 51,853 peluang pekerjaan.”
Beliau berkata projek berkenaan adalah peningkatan 34.8% tahun ke tahun.
“Sektor perkhidmatan akan menjadi sumber utama pelaburan diluluskan pada masa depan di Malaysia, terdiri daripada 62% keseluruhan pelaburan.”
Katanya, Pulau Pinang sekali lagi bukan lima negeri teratas menerima pelaburan selepas ia tercicir daripada senarai pada separuh tahun 2022.
Lim berkata ia diebabkan pengurangan pelaburan dalam sektor perkhidmatan sementara pelaburan sektor pembuatan juga berkurangan.
“Malah Kedah juga dapat masuk dalam senarai lima negeri teratas kerana bank tanah industri besar dan kedudukannya hampir dengan Pulau Pinang,” katanya yang juga pengerusi DAP. – 19 September, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen