Hujan lebat di Yaman rosakkan kem perlindungan pelarian


Hujan lebat di Hodeidah, barat Yaman pada minggu lepas menyebabkan kem perlindungan yang menempatkan lebih 900 pelarian mengalami kerosakan. – Gambar EPA, 19 September, 2023.

HUJAN lebat yang melanda Hodeidah di wilayah barat Yaman pada minggu lepas menyebabkan kem perlindungan yang menempatkan lebih 900 pelarian mengalami kerosakan, menurut Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM).

Dalam catatan di platform media sosial X, IOM berkata pertubuhan itu memberi bantuan kecemasan kepada lebih 135 keluarga dan sedang membantu 125 keluarga lagi untuk membaiki rumah mereka yang rosak.

Menurut angka IOM, sejumlah 4,311 keluarga atau 25,866 individu dipindahkan dari 1 Januari hingga 16 September tahun ini ke pelbagai kem penempatan. 

Dalam laporan baru-baru ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata bahaya bencana alam semula jadi yang berkaitan perubahan iklim telah memburukkan lagi krisis kemanusiaan di negara yang dilanda perang itu.

PBB berkata cuaca ekstrem itu memusnahkan infrastruktur rapuh Yaman dan meningkatkan ketakjaminan makanan dan mata pencarian penduduk, lapor Xinhua.

Yaman dibelenggu perang saudara sejak akhir 2014 apabila puak Houthi yang disokong Iran, menguasai beberapa wilayah utara.

Peperangan yang berterusan menyebabkan kematian berpuluh ribu orang, manakala empat juta rakyat hilang tempat tinggal. – Bernama, 19 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen