AS jumpa serpihan jet F-35 yang hilang


Tentera AS hari ini memaklumkan menemui serpihan jet pejuang Stealth F-35, yang hilang pada Ahad. – Gambar AFP, 19 September, 2023.

TENTERA Amerika Syarikat (AS) hari ini memaklumkan menemui serpihan jet pejuang Stealth F-35, yang hilang pada Ahad.

Pegawainya dalam satu kenyataan berkata, serpihan dari F-35 ditemui di Williamsburg County, Carolina Selatan, berhampiran timur laut Pangkalan Bersama Charleston (JBC).

“Penduduk tempatan perlu menjauhi kawasan itu kerana pasukan operasi sedang menyiasat lokasi yang ada serpihan,” kata kenyataan itu yang disiarkan melalui media sosial, X.

Ahad lalu, pesawat pejuang Stealth bernilai AS$80 juta dilaporkan hilang di Carolina Selatan selepas juruterbangnya menyelamatkan diri dan kejadian itu kemudian mengundang pandangan sinis orang awam.

JBC mengeluarkan kenyataan di media sosial meminta penduduk tempatan yang mempunyai maklumat mengenai pesawat itu untuk menghubungi mereka.

Sistem pengesanan penerbangan menunjukkan beberapa pesawat carian tertumpu di kawasan hutan dan tanah ladang berhampiran Stuckey, yang terletak di Williamsburg County, kira-kira 120 kilometer di utara Charleston, lewat petang semalam. – AFP, 19 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen