25 maut bas jatuh gaung di Peru


Bas yang dalam perjalanan ke pekan Andes itu terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira 200 meter di wilayah Huancavelica, Peru pada Isnin. – Gambar EPA, 19 September, 2023.

SEBUAH bas terjunam ke dalam gaung ketika melalui laluan sempit di kawasan pergunungan di tenggara Peru pada Isnin, menyebabkan 25 penumpang termasuk dua kanak-kanak maut, manakala puluhan lagi cedera.

Kemalangan berlaku sebelum waktu subuh apabila bas yang dalam perjalanan ke pekan Andes itu terjunam sejauh kira-kira 200 meter di wilayah Huancavelica.

“Seramai 25 orang maut dan 34 lagi cedera,” kata Menteri Pertahanan Peru Jorge Chavez.

Beberapa gambar di tempat kejadian menunjukkan bas tersebut terhumban berdekatan sungai, dengan serpihan dan barang peribadi penumpang bertaburan.

Presiden Peru Dina Boluarte, yang berada di New York menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyampaikan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa.

Bulan lalu seramai 13 orang maut manakala lima lagi cedera parah dalam kemalangan di wilayah yang sama. – AFP, 19 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen