Qatar Airways sambung semula perkhidmatan ke Pulau Pinang


Qatar Airways akan turut menambah jumlah penerbangan ke Kuala Lumpur bermula 15 Disember ini, menjadikan keseluruhan 28 penerbangan mingguan. – Gambar EPA, 18 September, 2023.

QATAR Airways akan menyambung semula perkhidmatan penerbangan harian ke Pulau Pinang menerusi Phuket, Thailand pada 29 Oktober ini.

Naib Presiden Jualan di Asia Tenggara dan Pasifik Barat Daya Qatar Airways Jared Lee berkata penerbangan harian menggunakan pesawat Boeing 777 itu, akan memperkukuhkan lagi komitmen Qatar Airways untuk memberi penumpang ketersambungan dan perkhidmatan bertaraf dunia.

“Keputusan untuk menyambung semula perkhidmatan ke Pulau Pinang mencerminkan dedikasi Qatar Airways untuk meluaskan rangkaian globalnya dan menawarkan lebih banyak pilihan penerbangan ke destinasi popular kepada penumpang.

“Hasilnya, penumpang boleh mengalami sendiri keistimewaan Pulau Pinang, yang dikenali dengan kekayaan budaya, pantai yang indah dan kepelbagaian makanan jalanan, sambil menikmati kelancaran keterhubungan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha yang pernah meraih anugerah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jared berkata penyambungan operasi itu turut menunjukkan komitmen pihaknya dalam menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada penumpang dan keterhubungan tiada tandingan, sama ada mereka mengembara untuk bekerja atau melancong.

“Penumpang yang menaiki pesawat Boeing 777 boleh menjangkakan pengalaman dalam penerbangan yang hebat, dengan tempat duduk yang luas di Kelas Perniagaan serta Kelas Ekonomi. Hospitaliti syarikat penerbangan ini yang terkenal berserta komitmennya terhadap keselamatan dan kebersihan, memastikan penumpang dapat berehat dan menikmati perjalanan mereka sepenuhnya,” tambahnya.

Penerbangan Qatar Airways QR840 akan berlepas dari Lapangan Terbang Hamad Doha (DOH) ke Pulau Pinang menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket (HKT) pada 2.45 pagi, dengan masa ketibaan dijadualkan pada 6.20 petang.

Bagi laluan Pulau Pinang ke DOH, penerbangan Qatar Airways QR841 akan berlepas dari Pulau Pinang pada 9 malam dan tiba di DOH pada 4 pagi.

Selain itu, syarikat penerbangan yang diiktiraf itu akan turut menambah jumlah penerbangan ke Kuala Lumpur bermula 15 Disember ini, menjadikan keseluruhan 28 penerbangan mingguan (empat penerbangan harian) iaitu 14 penerbangan mingguan dikendalikan oleh rakan perkongsian kod, Malaysia Airlines, bagi memenuhi permintaan yang meningkat.

Berikut jadual penerbangan mengikut waktu Malaysia, bagi laluan DOH-Kuala Lumpur dan sebaliknya: 

Doha – Kuala Lumpur (harian)

QR4991 DOH – KUL Perlepasan pada 1.30 pagi, Ketibaan pada 1.55 tengah hari (operasi dikendalikan oleh Malaysia Airlines).

QR852 DOH – KUL Perlepasan pada 3.05 pagi, Ketibaan pada 3.35 petang (dari 15 Dis hingga 11 Mac, 2024).

QR4993 DOH – KUL Perlepasan pada 8.10 pagi, Ketibaan pada 8.40 malam (operasi dikendalikan oleh Malaysia Airlines).

QR844 DOH – KUL Perlepasan pada 7.50 malam, Ketibaan pada 8.20 pagi hari berikutnya. 

Kuala Lumpur – Doha (harian)

QR4992 KUL – DOH Perlepasan pada 2.25 pagi, Ketibaan pada 5.15 pagi (operasi dikendalikan oleh Malaysia Airlines).

QR845 KUL – DOH Perlepasan pada 9.50 pagi, Ketibaan pada 12:30 tengah hari.

QR853 KUL – DOH Perlepasan pada 8 malam, Ketibaan pada 10.40 malam (dari 15 Disember hingga 11 Mac, 2024).

QR4990 KUL – DOH Perlepasan pada 9.10 malam, Ketibaan pada 11.50 malam (operasi dikendalikan oleh Malaysia Airlines). – Bernama, 18 September 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen