Aktivis alam sekitar halang lalu lintas sekitar Berlin


Aktivis iklim “Last Generation” bertindak menghalang lalu lintas di Berlin hari ini sebagai protes menuntut penggunaan bahan api fosil dihentikan. – Gambar EPA, 18 September 2023.

AKTIVIS iklim “Last Generation” bertindak menghalang lalu lintas di beberapa kawasan di Berlin hari ini seterusnya memulakan gelombang protes yang berterusan bagi menuntut penggunaan bahan api fosil dihentikan.

Pada pagi tadi polis melaporkan lalu lintas semasa waktu puncak terganggu di 21 lokasi berbeza dan perkhidmatan bas turut terkesan.

Kumpulan “Last Generation” mengumumkan sekurang-kurangnya 23 tunjuk perasaan di sekitar ibu negara Jerman manakala susur keluar lebuh raya serta jalan menuju ke Berlin turut terjejas.

Di beberapa kawasan aktivis melekatkan diri mereka di jalan dengan menggunakan gam yang menjadi strategi kebiasaan kumpulan itu.

Polis berkata beberapa daripada mereka menggunakan campuran gam yang sangat kuat, menjadikan usaha untuk menyuraikan mereka lebih sukar.

Sebanyak 500 pegawai polis dikerah untuk mengendalikan sekatan itu.

Tuntutan kumpulan ini termasuk penggunaan bahan api fosil dihentikan menjelang tahun 2030.

Pada masa ini kerajaan di Berlin merancang agar Jerman menjadi neutral iklim menjelang tahun 2045.

Pada Ahad ahli kumpulan ini menyembur cat berwarna jingga pada enam tiang ikonik Gerbang Brandenburg, hingga menerima kritikan yang tajam.

Seramai 14 individu ditangkap dan pada petang semalam enam daripada mereka masih berada dalam tahanan menurut pihak polis. – Bernama, 18 September 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen