Fasiliti kesihatan swasta dibenar ambil jururawat terlatih warga asing, kata Zaliha


Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata fasiliti kesihatan swasta dibenarkan mengambil jururawat terlatih warga asing bermula 1 Oktober ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2023.

FASILITI kesihatan swasta dibenarkan mengambil jururawat terlatih warga asing (JTWA) tanpa kelayakan pos basik bermula 1 Oktober ini namun ia tertakluk kepada beberapa syarat, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Syaratnya adalah JIWA perlu menduduki ujian Malaysian Nursing Board Qualification Examination for Foreign Trained Nurses yang dikendalikan Lembaga Jururawat Malaysia dan bilangan JTWA di setiap fasiliti kesihatan swasta tidak boleh melebihi 40 peratus daripada jumlah jururawat di fasiliti berkenaan.

Syarat lain adalah pengambilan JTWA adalah sah bagi tempoh 12 bulan sahaja iaitu mulai 1 Oktober 2023 sehingga 30 September 2024 dan pelanjutan perkhidmatan dibenarkan selama 12 bulan mengikut kelulusan Perakuan Pengamalan Sementara (TPC) JTWA serta dinilai semula berdasarkan keadaan dan keperluan semasa.

“Pengambilan JTWA juga hendaklah mematuhi kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri, termasuk perincian gaji dan tempoh kontrak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Zaliha berkata kekangan berkenaan pengambilan JTWA oleh pihak swasta seperti yang termaktub dalam Employment Criteria for Foreign Trained Nurses In Malaysia 2018, dikaji semula dan diberi kelonggaran bersyarat sementara demi kepentingan perkhidmatan yang lebih mampan dan berdaya saing.

Dr Zaliha berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan langkah itu akan memberi kesan positif terhadap pelbagai sektor seperti industri pelancongan kesihatan dan seterusnya merangsangkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Keputusan ini disambut baik oleh industri perubatan swasta kerana ia dapat membantu mengoptimumkan pengoperasian dan perkhidmatan mereka,” katanya.

Menegaskan KKM tetap memberi keutamaan kepada kebajikan dan prospek kerjaya jururawat tempatan, Dr Zaliha berkata KKM akan melaksanakan pengambilan tetap graduan Diploma Kejururawatan dari Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta secara berfasa bagi tahun 2024 dan 2025.

“Langkah ini diambil untuk mengisi keperluan jururawat di fasiliti KKM dan akan memastikan peluang pekerjaan jururawat tempatan terpelihara,” katanya. – Bernama, 18 September 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen