Lebih 260 ditahan semasa ulang tahun pertama kematian Mahsa Amini di Iran


Kematian wanita Kurdish Iran Mahsa Amini, 22, setahun lalu mencetuskan gelombang protes ganas di seluruh Iran pada akhir 2022. – Gambar AFP, 18 September, 2023.

PIHAK berkuasa keselamatan Iran menahan lebih 260 orang ketika sambutan ulang tahun pertama kematian Jina Mahsa Amini pada Sabtu, menurut media tempatan.

Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran keras bagi mengelak protes baharu.

Tangkapan itu dibuat dalam tempoh 24 jam dalam siri beberapa protes terbesar dalam sejarah Iran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik laporan akhbar Shargh pada Ahad.

Pihak berkuasa keselamatan berkata penahanan itu dibuat kerana mereka melanggar keselamatan awam, menghasut untuk melakukan protes dan memiliki senjata.

Kematian Amini, 22, wanita Kurdish Iran yang ditahan polis kerana didakwa melanggar kod pakaian mandatori. Kematiannya mencetuskan gelombang protes ganas di seluruh Iran pada akhir 2022.

Menjelang ulang tahun pertama itu, tentera Iran telah mengambil langkah keselamatan yang ketat untuk menghalang gelombang perarakan baharu. – Bernama, 18 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen