Suku Temiar rayu kerajaan Kelantan warta tanah Orang Asli Lojing 


Penduduk Orang Asli suku Temiar gusar perkampungan itu akan terkubur ekoran pembukaan tanah bagi tujuan aktiviti agrikultur yang semakin meluas di lokasi berkenaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2023.

PENDUDUK Orang Asli suku Temiar di Kampung Kelaik, Pos Blau di Gua Musang, merayu kerajaan negeri agar mewartakan tanah adat buat mereka kerana gusar perkampungan itu akan terkubur ekoran pembukaan tanah bagi tujuan aktiviti agrikultur yang semakin meluas di lokasi berkenaan.

Penduduk Uda Busu, 42, mendakwa penempatan yang dahulunya mempunyai lebih 200 penduduk kini hanya tinggal hampir 100 penduduk kerana kebanyakan mereka terpaksa berpindah ke kawasan lombong bijih besi berhampiran akibat kekurangan sumber makanan dan hasil hutan. 

Malah menurutnya, kini penempatan yang dihuni semenjak zaman nenek moyang mereka telah dikelilingi dengan pelbagai projek penanaman seperti ladang durian, kelapa sawit dan kebun sayur. 

“Baru-baru ini kebun rambutan, getah dan durian penduduk di Kuala Cenroi (Pos Blau) telah dimusnahkan pihak syarikat dan tiada pampasan buat kami, untuk tuntut ganti rugi daripada siapa pun kami tidak tahu. 

“Kalau tanah tempat tinggal kami diwartakan, tidak akan timbul masalah tetapi sekarang kami dilayan ibarat pendatang asing. Kami pun rakyat Malaysia, pihak berwajib sepatutnya datang berjumpa dengan kami untuk berbincang sebelum memberi kebenaran kepada syarikat yang terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kelaik, Pos Blau, baru-baru ini.

Bagi Billy Ibrahim, 39, pula beliau amat risau memikirkan nasib penduduk di penempatan terbabit dan memohon agar pewartaan tanah untuk tanah adat mereka diselesaikan segera. 

“Kalau boleh kita minta tolong sangat kerjasama daripada mana-mana pihak yang berkuasa di Malaysia ini untuk mewartakan tanah dan hak adat Orang Asli Kampung Kelaik. 

“Sekarang ini, kami semakin terhimpit dan mungkin selepas ini kita terpaksa tinggal di atas pokok, duduk bawah jambatan atau tepi jalan sedikit masa lagi,” katanya. 

Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Nasir Dollah, 36, berkata pewartaan tanah Orang Asli akan memberi jaminan tanah di kampung masyarakat berkenaan tidak diceroboh.

“Bila tiada hitam putih sudah tentu kawasan yang kita anggap tanah Orang Asli itu akan diambil pada bila-bila masa. Kalau kita lihat dan dengar di lain negeri sudah ada pewartaan tapi di kampung kami memang tiada lagi,” katanya. – Bernama, 18 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen