2 rentung, 8 unit rumah kedai terbakar 


DUA individu ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan lapan unit rumah kedai di Jalan Sungai Emas Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani, awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Awang Hidzel Awang Bujang berkata mangsa pertama dijumpai pada 3.19 pagi manakala mangsa kedua pada 6 pagi.

Bagaimanapun, beliau berkata identiti kedua-dua mangsa berkenaan masih belum dikenal pasti.

“Panggilan kecemasan berhubung kebakaran diterima pada 1.12 pagi dan anggota serta jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu dan BBP Sungai Petani digerak ke lokasi kejadian dibantu pasukan BBP Kuala Muda, Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Awang Hidzel berkata kebakaran melibatkan lapan unit rumah kedai dua tingkat kelas B dengan setiap satu unit berkeluasan 20 x 80 kaki persegi.

Katanya, kebakaran dapat dikawal pada 3.08 pagi dan mangsa yang rentung telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, satu lagi mayat yang merupakan mangsa ketiga dalam kebakaran itu ditemukan di bawah sisa runtuhan bangunan terbakar pada 10.15 pagi.

“Mayat mangsa ketiga ditemukan di bawah ruangan tangga tidak jauh dari penemuan mayat mangsa kedua. Mayat mangsa pertama ditemukan di ruang tamu manakala mayat mangsa kedua dijumpai kira-kira tiga meter dari situ dan ditimpa runtuhan pintu…kesemuanya berhampiran dengan pintu keluar,” katanya.

Beliau berkata kebakaran itu berlaku dipercayai bermula dari sebuah premis menjual pakaian sekolah sebelum merebak ke premis lain manakala punca kejadian masih dalam siasatan.

“Pasukan penyelamat berdepan kesukaran kerana bahagian belakang bangunan tersebut tidak mempunyai akses untuk masuk dan pemadaman hanya boleh dilakukan dari bahagian hadapan bangunan.

“Tambahan pula bangunan ini dipercayai berusia lebih 60 tahun, struktur atas daripada kayu dan bawah daripada batu-bata…usaha mencari juga mengambil masa kerana perlu mengutamakan keselamatan anggota penyelamat,” katanya.

Katanya, kesemua mangsa terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki, namun pihaknya masih mengenal pasti hubungan antara kesemua mangsa.

Mangsa yang maut ialah Yong Swee Lan, 92, Lee Chew Fong, 61 dan mangsa lelaki Lim Yang Kooi, 66. – Bernama, 18 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen