SEORANG remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu ditemukan selamat di rumah rakannya di Semenyih, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan berkata remaja berusia 15 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang oleh ibu rakannya itu kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam selepas menyedari kes kehilangan berkenaan melalui media sosial.
“Wanita berusia 48 tahun itu melihat hantaran di Facebook berkaitan kehilangan remaja itu yang sepanjang kejadian itu menumpang di rumahnya di Semenyih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati remaja berkenaan melarikan diri dari rumah disebabkan perselisihan faham dengan keluarga.
Katanya rakannya tidak mengetahui remaja itu melarikan diri dari rumah kerana tidak dimaklumkan mengenai perkara itu sepanjang remaja itu menumpang di rumahnya.
“Remaja itu dijumpai selamat tanpa sebarang kecederaan dan diserahkan kepada ibu bapanya di IPD Kajang,” katanya.
Pada Rabu, remaja terbabit disedari hilang selepas ibunya mendapati dia tidak pulang dari sekolah dan kemudian membuat laporan polis di IPD Kajang pada hari sama. – Bernama, 17 September, 2023.
Komen