Jangan keluar ucapan sewenang-wenang, kata menteri agama


Mohd Na'im Mokhtar berkata ia termasuk mengeluarkan kenyataan yang menyentuh urusan agama Islam dan kefatwaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2023.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar menyeru semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan ucapan yang boleh mencetus perbalahan, ketegangan serta kegelisahan dalam masyarakat.

Ia termasuk mengeluarkan kenyataan yang menyentuh urusan agama Islam dan kefatwaan.

Beliau berkata sebarang perkara membabitkan urusan agama khususnya di bidang akidah dan syariah hendaklah diserah serta dirujuk kepada pihak berkuasa agama Islam negeri dan ilmuan yang diperakui kepakarannya dalam disiplin ilmu itu.

“Semua pihak dimohon untuk menghentikan perbalahan serta persengketaan yang boleh memusnahkan perpaduan dan keamanan negara. Semua pihak perlu bersatu hati untuk membangunkan negara supaya lebih maju, makmur, berdaya saing dan aman sentosa,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na’im berkata beliau turut menjunjung tinggi titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang menggesa semua pihak terutama pemimpin politik agar mengambil tanggungjawab untuk memperkukuh perpaduan demi kesejahteraan negara.

Beliau juga berkata, semua pemimpin perlu akur serta menghayati titah Sultan Sharafuddin dengan sepenuh hati supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dan pada akhirnya, rakyat akan menjadi mangsa kepada perbalahan orang politik.

Pada 12 September, Sultan Sharafuddin menitahkan rakyat khususnya pemimpin politik supaya segera menghentikan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.

Titah Sultan Selangor, ini kerana baginda tidak sanggup melihat rakyat berpecah-belah disebabkan oleh tindak-tanduk sesetengah pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab namun ini tidak bermaksud Sultan Sharafuddin menyebelahi mana-mana pihak atau parti.

Mohd Na’im juga berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggerakkan seluruh agensi untuk memperkukuh kesatuan dan perpaduan umat Islam melalui pelbagai usaha serta inisiatif termasuk memperkasa peranan institusi masjid dan surau sebagai pusat penyatuan ummah.

Katanya dalam konteks kemajmukan masyarakat, jabatan itu melaksanakan program dialog antara tamadun dan budaya untuk memupuk kebersamaan serta sikap saling menghormati. – Bernama, 17 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen