Zon Kewangan Khas Pulau Pinang akan tingkatkan ekonomi, kata Guan Eng


Pengerusi DAP Lim Guan Eng penubuhan zon kewangan itu akan membawa negeri ke tahap pembangunan ekonomi seterusnya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2023.


PENUBUHAN Zon Kewangan Khas (SFZ) di Pulau Pinang akan membantu meningkatkan pelaburan, pertumbuhan dan aktiviti ekonomi serta membawa negeri ke tahap pembangunan ekonomi seterusnya, kata Lim Guan Eng.

Pengerusi DAP itu berkata terdapat sambutan menggalakkan daripada penduduk Pulau Pinang dengan kedua-dua Dewan Perniagaan Cina dan Dewan Perniagaan India hadir sepenuhnya untuk menyokong SFZ untuk Pulau Pinang.

“Bagi mendapatkan kelulusan kerajaan persekutuan untuk SFZ di Pulau Pinang memerlukan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi daripada semua rakyat Pulau Pinang, daripada kerajaan negeri hingga semua wakil rakyat Pulau Pinang, termasuk pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim pada Rabu berkata kerajaan perlu mewujudkan SFZ di Pulau Pinang sama seperti di Forest City, Johor.

Beliau berkata SFZ Pulau Pinang akan meningkatkan ekonomi untuk seluruh negara dan bukan hanya negeri.

Menurut Lim, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dilaporkan berkata kerajaan negeri tidak mempunyai maklumat mengenai cadangan mewujudkan SFZ di Pulau Pinang untuk wilayah utara, sama seperti di Forest City, Johor.

“Cadangan yang saya kemukakan di Parlimen pada 13 September 2023 bagi penubuhan sebuah SFZ untuk Pulau Pinang adalah berdasarkan fakta bahawa negeri ini memiliki kesemua kelebihan saingan dan keperluan kritikal bagi sebuah negeri perindustrian, yang secara kebetulannya merupakan pengeksport terbesar negara.

“Pulau Pinang juga telah mencapai tahap tertinggi dengan industri pembuatan yang telah matang, yang akan memacu pembangunan dan meningkatkan pertumbuhan sektor perkhidmatan, bukan sahaja di wilayah utara malah juga untuk seluruh negara.”

Beliau berkata, kos menjalankan perniagaan di SFZ akan lebih berpatutan, dengan kos pengurusan tidak terlalu tinggi, seperti untuk pelancongan, pendidikan dan kesihatan.

“Insentif yang terdapat dalam SFZ termasuklah kadar cukai pendapatan khas sebanyak 15 % untuk pekerja mahir dan visa khas untuk tenaga pakar warga asing.”

Lim berkata Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi sangat bersemangat tentang SFZ untuk Johor malah menyamakan prospek pertumbuhan Johor Bahru untuk berkembang sebagai satu lagi Shenzhen di China.

“Sebagai wakil rakyat bagi negeri ini, kita semua mesti mengetepikan fahaman politik kepartian dan kepentingan peribadi demi masa depan yang lebih mampan dan cerah untuk Pulau Pinang.” – 17 September, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen